Omar mokhtar "singa padang pasir"

Omar dilahirkan di perkampungan Timur Jenzur di timur Libya bersempadan dengan Mesir pada 1858M. Beliau lahir dalam keadaan yatim piatu apabila kedua-dua ayah dan ibunya meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Makkah untuk menunaikan ibadat haji.

Omar mendapat pendidikan awal di desanya sebelum melanjutkan di peringkat menengah di bandar al-Jaghbub kira-kira 500 kilometer dari ibu negara Libya, Tripoli.

Beliau menetap di situ selama lapan tahun untuk mendalami ilmu-ilmu agama di tangan para ulama tersohor seperti Imam Saiyid al-Mahdi as-sanusi tokoh ulama sufi tarekat as-Sanusiyyah. Beliau sempat belajar bahasa Arab, subjek-subjek yang berkaitan dengan Syariat Islamiah, ilmu-ilmu al-Quran dan menghafaznya dalam usia yang begitu muda.

Kepintaran beliau dapat dikesan oleh para gurunya dan mendapat perhatian serius dalam setiap subjek yang dipelajari. Begitu juga bakat kepimpinan yang ditampilkan beliau semasa belajar di situ. Beliau sering dipuji melangit oleh guru-gurunya kerana contoh teladan yang ditunjukkan di samping disiplin ketika belajar.

Beliau telah diminta oleh Syeikh al-Mahdi untuk mengiringinya ke Sudan dan Chad pada 1899 ketika beliau berusia 37 tahun memimpin pasukan mujahidin as-Sanusiyyah menentang penjajah Perancis, di mana beliau sudah mula terlibat dalam jihad menentang penjajah yang sering mendatangkan masalah kepada negara.

Menyertai jihad

Libya merupakan destinasi kedua Itali selepas Turki yang ditaklukinya pada 29 September 1911 untuk melenyapkan pemerintahan Islam Othmaniyyah yang akhirnya jatuh pada 1924 di tangan Inggeris. Ia menghadapi tentangan hebat daripada tentera Itali yang mahu menakluk Libya seluruhnya, ini bermakna selepas tahun 1911, suasana untuk belajar secara formal tidak lagi dianggap munasabah, kerana di mana-mana pelosok dibanjiri dengan peluru dan bom tentera Itali.

Omar al-Mokhtar telah biasa dengan suasana itu. Ketika umurnya 37 tahun beliau telah menyertai jihad menentang Perancis di sempadan Sudan dan Chad, iaitu satu usia yang dianggap muda khususnya dalam suasasan peperangan.

Libya menanti kehadiran pasukan tentera laut Itali yang menyeberangi Laut Mediterranean untuk menyusup masuk bandar Tripoli dan Benghazi pada 1912, iaitu dianggap tahun berlakunya peperangan besar antara tentera Itali dan Libya.

Mujahidin Libya yang diketuai oleh Omar al-Mokhtar berjaya membunuh belasan tentera laut Itali, mengusir 400 daripada mereka dan merampas persenjataan perang serta alat-alat kelengkapan perang yang menjadikan pergerakan mereka lebih mudah untuk mengusir dan bertahan.

Kejayaan Omar al-Mokhtar menghadapi tentera Itali boleh dibahagikan kepada tiga aspek penting:

1. Menghalang kemasukan tentera laut Itali dari Mesir dan memperkukuh barisan mujahidin di bandar Marmarika.

2. Pengawasan mujahidin di persempadan negara-negara jiran seperti di al-'Arqub, Salnatah dan al-Mukhili.

3. Persediaan mujahidin sepenuhnya di Miswas dan Ajdabiya yang merupakan pintu masuk penjajah.

Jeneral Itali yang bertugas pada waktu itu sudah dapat menghidu pergerakan Omar al-Mokhtar serta perancangannya, maka beliau mengarahkan supaya mencetuskan peperangan hanya menunggu di Umm Syakhnab, Syalizimah dan Zuwaitinah, ia berlaku pada 1914M hingga tercetusnya Perang Dunia Pertama.

Ketokohan Omar terserlah

Perang Dunia I berlarutan antara 28 Julai 1914 hingga 11 November 1918 dan ia bermula di rantau Balkan dan ketika itu juga kebanyakan negara-negara Barat atau lebih dikenali sebagai negara-negara yang menyimpan dendam kesumat terhadap Islam akibat kekalahan dalam perang Salib satu ketika dahulu. Mereka menyimpan hasrat untuk membalas dendam terhadap negara-negara umat Islam di seluruh dunia. Negara-negara yang jelas menunjukkan kebencian terhadap Islam adalah seperti Belanda, Perancis, Jerman, Itali, Britain, Sepanyol dan lain-lain.

Apabila tentera Itali mula memasuki Libya peringkat demi peringkat serta mencetuskan kekacauan pada 1922, Omar al-Mokhtar menyusun strategi untuk menghadapi kemaraan tentera-tentera Itali yang tidak diundang.

Selain sibuk dengan kelas-kelas pengajian al-Quran dengan anak-anak orang kampungnya, beliau tetap mempersiapkan generasi muda untuk bangkit berjihad ketika beliau mencecah usia hampir 50 tahun. Tetapi semangat untuk berjihad tetap membara seperti ketika beliau menemani gurunya satu ketika dahulu di sempadan Sudan dan Chad menghadapi kerakusan bala tentera Perancis.

Omar al-Mokhtar dan anak-anak buahnya yang berjihad walaupun pada peringkat awal berjaya melepasi serangan demi serangan daripada pihak Itali yang merasakan bahawa kepimpinan dan pengalamannya dalam peperangan sukar untuk ditembusi, kepimpinannya dikagumi pihak musuh, namun kehadiran tentera Itali di bumi Libya adalah untuk menaklukinya.

Justeru, mereka juga mempunyai pelbagai perancangan dan kemudahan peralatan berbanding Omar dan rakan-rakannya yang berbekalkan senjata lapuk. Namun keimanan yang cukup tingi kepada Allah SWT merupakan senjata ampuh yang sukar dikalahkan dan mereka tetap menjadi sasaran musuh untuk dikalahkan. Bagi mereka (musuh Itali) jika Omar dapat dikalahkan bermakna mudahlah Libya di bawah penguasaan mereka.

Dihukum gantung sampai mati

Akhirnya Omar berjaya ditahan. Beliau dan beberapa orang kanannya didakwa dan dibicarakan, keputusan menyebut bahawa Omar al-Mokhtar didapati bersalah kerana melawan kerajaan Itali dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Sebelum beliau digantung pada pagi 16 September 1931 di hadapan pembesar Angkatan Tentera Itali, beliau meminta izin untuk berpesan kepada seluruh rakyat Libya yang hadir untuk menyaksikan hukuman berkenaan dan jasadnya yang terakhir sebelum terkulai layu sebagai syahid.

Beliau meingatkan kepada mereka: "Kita tidak akan menyerah dengan mudah kepada pihak musuh, kerana sama ada kita menang ataupun kita mati, ini bukanlah penghujung perjuangan kita. Bahkan kamu semua juga akan menghadapi peperangan demi peperangan, jika kamu gugur, ia akan diteruskan oleh generasi selepas kamu, adapun umur aku sendiri hanya setakat ini, tetapi ia terus hidup menjadi kenang-kenangan sampai bila-bila (sekurang-kurangnya aku telah menunjukkan jalan yang baik) untuk mempertahan agama Allah yang benar di muka bumi ini."

Susunan Ustaz Zainudin Hashim

Demi perjuangan...

Beliau mendapat pendidikan awal di kampung halamannya sebelum meneruskan pengajian peringkat menengah di bandar Qabis, kemudian menyambung di Tunis ibu negara Tunisia di peringkat pengajian tinggi di Universiti Zaitunah.

Kemudian Rashid ke Mesir dan Syria menyambung pelajaran di salah sebuah universiti di situ dalam bidang Falsafah, dari sinilah beliau mula berjinak dengan 'Falsafah Islam' yang membentuk pemikiran manusia kepada agama.

Selanjutnya beliau menyambung pelajaran di Univeristi Sorbonne, Perancis bagi menghalusi perbandingan antara falsafah Islam dan Barat, hingga beliau semakin tertarik untuk memperdalami pemikiran serta falsafah Islam yang mencakup semua keperluan hidup manusia.

Pada akhir 60-an, beliau kembali ke Tunisia untuk bergerak aktif dalam gerakan Islam hingga berjaya menubuhkan Harakah Nahdah Islamiyah dengan menjadikan golongan belia sebagai sasaran dakwahnya hingga menular ke negara jiran seperti Algeria dan Maghribi.

Beliau pernah dipenjara beberapa kali kerana dituduh menyebarkan fahaman yang boleh mengancam keselamatan negara.

Pada 1981 beliau dijatuhkan hukuman penjara 11 tahun, pada 1987 sekali kali dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup, pada 1998 beliau berjaya meloloskan diri hingga ke Eropah.

Beliau banyak menghasilkan bahan-bahan ilmiah berupa rencana dan buku-buku bahan bacaan rujukan seperti 'Toriquna ila al-hadarah', Nahnu wa al-Gharb, Hak al-Ukhtilaf wawajib wehdat as-sof, al-Qadiyyah al-Palestiniyyah fi muftariq at-turuq dan al-Mar'ah baina al-Quran wawaqi' al-Muslimin.

Perjuangan Islam dalam arena politik di Tunisia mengalami hambatan yang amat serius apabila Kementerian Pengadilan dan Undang-undang Tunisia mengeluarkan arahan melarang Harakah Nahdah Islamiyah membentuk sebuah parti politik berdasarkan agama.

Justeru, ramai daripada kalangan para aktivis gerakan Islam yang ada kaitan langsung dengan Ikhwan Muslimun terpaksa meninggalkan negara berikutan tangkapan demi tangkapan bagi mengatur langkah dan strategi khususnya bagi menghadapi kerenah para pemerintah negara yang diketuai Presiden Zein El-Abidin Ali yang kuat berpegang kepada aliran Sekularisme.

Ura-ura laporan media massa Tunisia bahawa pihak berkuasa Tunisia mungkin akan mempertimbangkan bagi membenarkan pembentukan sebuah parti Islam yang layak bertanding dalam pilihan raya umum, terrnyata pandangan yang meleset.

Kementerian Pengadilan dan Undang-undang Tunisia menganggap pembentukan parti berasas Islam itu seolah-olah mengiyakan pemerintah sebagai sebuah pemerintah kafir kerana tidak melaksanakan peraturan dan undang-undang dalam pentadbiran negara.

Menterinya, Albashir Attakari dalam kenyataannya di stesen televisyen Tunisia mengatakan, "Kami menolak mana-mana kelompok atau gerakan yang berhasrat mahu membentuk parti atas dasar agama Islam yang menjadi agama semua rakyat Tunisia. Jika kami menerima parti politik berasas agama, maka sama saja kami mengkafirkan semua rakyat Tunisia."

Beliau yang bercakap dalam nada penuh yakin menegaskan, bahawa parti yang berlandaskan agama termasuk Islam tidak dibenarkan wujud kerana ia sudah menjadi peraturan dan perlembagaan negara yang melarang terbentuknya sebuah parti atas dasar agama yang telah diguna pakai sejak Tunisia mencapai kemerdekaan daripada Perancis pada 20 Mac 1956.

Ini kerana menurutnya rakyat sudah dapat menerima Parti Tajammu’ Dusturi Demokratik yang juga parti pemerintah.

Harakah Nahdah Islamiyah pimpinan Rashid Ganushi mengatakan bahawa organisasinya sejak dibentuk pada 1981 berupaya untuk berdamai dengan pihak berkuasa bagi mendapatkan legitimasi dari aspek undang-undang negara.

Keghairahan kononnya pihak berkuasa mahu mempertimbangkan pembentukan sebuah parti Islam, sebenarnya ia hanya gimik politik kotor bagi meredakan keadaan.

Pada masa sama, pihak berkuasa mengeluarkan arahan agar semua para aktivis, pertubuhan, gerakan yang berselindung di bawah nama Islam ditangkap dan disita.

Rashid Ganushi sebagai pimpinan tertinggi Harakah Nahdah Islamiyah, pernah dilarang selama berada di bawah kekuasaan Presiden Zein El-Abidin Bin Ali bagi menyampaikan ceramah, motivasi, khutbah melalui radio Zaituna, yang diambil sempena nama masjid terbesar di Tunisia.

Beliau telah dicop sebagai perintis gerakan Islam oleh pihak berkuasa yang mampu menggugat kerajaan.

Sejak itu, beliau sering diburu siang dan malam bagi mengurangkan pengaruhnya yang dilihat semakin mendapat tempat di hati para pencinta Islam di Tunisia, termasuk golongan wanita, para pelajar sekolah dan universiti yang mampu membela hak mereka sebagai warganegara beragama Islam.

Awal 90-an disifatkan oleh para aktivis Islam seluruh dunia sebagai tahun-tahun malang bagi gerakan Islam, kerana pada tahun-tahun itu juga Barisan Pembebasan Islam (FIS) di Algeria yang hampir menang dalam pilihan raya umum negara itu telah dinafikan hak kemenangan.

Malah pemimpin tertinggi mereka seperti Dr Abbasi Madani dan Ali Benhaj dipenjara, tidak kurang juga anggota Harakah Nahdah Islamiyah Tunisia ditangkap dan dipenjara beberapa tahun kerana dituduh mengancam keselamatan negara.

Tidak ada cara yang boleh menyelamatkan diri, maka Rashid Ganushi yang terselamat daripada tangkapan walaupun diburu, meloloskan dirinya untuk ke Eropah dan hidup di sana hingga sekarang.

Susunan Ustaz Zainudin Hashim.

Syeikh Hamzah teguhkan ikhwan Jordan

Fokus kali ini mengajak para pembaca mengenali seorang tokoh Ikhwan di Jordan yang terpaksa mengharungi gelombang tribulasi ketika berdepan dengan golongan Sekularisme yang sememangnya mahu melihat Islam terkubur.

Walau bagaimanapun apa sahaja bentuk rintangan yang dihadapi, kerana penguasaan ilmu-ilmu agama yang mantap dan kental, Ikhwan Jordan dapat meneruskan kerja-kerja amal dengan mengajak manusia seluruhnya kepada Islam, termasuklah dalam amalan berpolitik bagi menyatakan kebenaran Islam dalam sidang Dewan Rakyat. Itulah yang dilakukan oleh Syeikh Hamzah Mansour salah seorang ahli Parlimen Ikhwan Jordan.

Mengenali Syeikh Hamzah

Syeikh Hamzah Abbas Mansour dilahirkan di sebuah kampung bernama al-Mansi dalam daerah Haifa pada 1944m/1363H.

Beliau mendapat pendidikan awal di peringkat rendah dan menengah di kampung asalnya, sementara di peringkat pengajian tinggi iaitu peringkat Sarjana Muda dalam takhassus Bahasa Arab dan di peringkat Sarjana pula dalam bidang Manhaj Pendidikan Bersepadu di Universiti Jordan.

Berkarier di Kementerian Pendidikan selama 24 tahun dalam pelbagai jawatan hingga bersara sebelum menceburi bidang politik sepenuh masa.

Suasana politik di Jordan sama sekali tidak sama dengan di beberapa negara Arab lain seperti Mesir dan Libya. Ini kerana ia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang kini diterajui oleh Raja Abdullah 11 sekali gus sebagai Ketua Tertinggi Angkatan Tentera Jordan.

Sementara yang melaksanakan pentadbiran negara pula dilakukan oleh Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam urusan di Dewan Rakyat dan membentuk Kabinet dan membahaskan isu-isu negara dalam Parlimen.

Perdana Menteri dipilih langsung oleh Raja sementara anggota-anggota jemaah menteri dipilih dalam satu pilihan raya khas di kalangan parti-parti yang bertanding, antaranya Parti Kesatuan Demokratik Rakyat Jordan, Parti Rakyat Jordan, Parti Barisan Amal Islami (Ikhwan Muslimun), Parti Komunis Jordan dan Parti Ba'ath Kemajuan Arab.

Jawatan dalam Gerakan Ikhwan

Pengalaman luas Syeikh Hamzah dalam kementerian, telah banyak mengajar beliau mengenai kemunduran umat Islam khususnya dalam memahami ajaran agama mereka sendiri mahupun yang berkaitan dengan politik negara dan antarabangsa.

Justeru, Syeikh Hamzah rasa terpanggil untuk mengetuai pelbagai persatuan yang bersifat ilmiah, kemasyarakatan dan yang berkaitan dengan parti politik melalui Gerakan Ikhwan Muslimun itu sendiri.

Syeikh Hamzah yang dikenali di kalangan pengamal politik Jordan sebagai seorang yang bersifat sederhana yang boleh diterima oleh segenap pihak dari pelbagai latar belakang pegangan dan amalan politik kerana beliau bersikap terbuka kepada semua.

Syeikh Hamzah pernah dilantik sebagai Timbalan Majlis Pemesyuaratan Rakyat dari 1989 hingga 1997 dan dilantik semula bagi sesi 2007 hingga 2011, beliau juga dilantik sebagai Ketua Whip Parti Barisan Amal Islami untuk sesi iaitu pada 1993 hingga 1997 dan 2007 hingga 2011.

Di peringkat parti, Syeikh Hamzah merupakan pengasas Parti Barisan Amal Islami dan menganggotai Majis Syura parti sejak ditubuhkan, menganggotai Majlis Syura Ikhwan Muslimun.

Sementara di peringkat kebajikan dan kemasyarakatan pula, Syeikh Hamzah dilantik sebagai Pengerusi Lajnah Pelaksana bagi melindungi negara daripada ancaman luar, anggota Urusetia Persidangan Parti-parti politik Arab, Timbalan Ketua Ikatan ahli-ahli Parlimen dunia bagi mempertahan rakyat Palestin, Timbalan Ketua Lajnah Penyelamat rakyat Iraq dan Pengerusi Kesatuan Bulan Sabit Hijau Jordan hingga kini.

Penglibatan dalam bidang ilmu

Dalam kesibukan berkarier sebagai ahli politik, Syeikh Hamzah tidak lupa untuk beramal untuk hari akhirat, iaitu mengkhususkan sedikit masa bagi menyediakan amal-amal jariah melalui bidang penulisan yang dianggap sebagai satu-satunya amalan yang berterusan walaupun sudah menemui Allah SWT.

Syeikh Hamzah hanya sempat menyiapkan tiga buah buku di samping kertas-kertas kerja yang dipersembahkan dalam beberapa siri seminar mengenai keadaan umat Islam pada abad ke-15 hijrah, mengenai isu Palestin menurut hokum Syariat Islam dan lain-lain. Buku-buku yang sempat dihasilkan adalah seperti Kalimat wa Mawaqif, Wa hakaza Allamatni Dakwat al-Ikhwan Muslimin dan Nazarat fi Adaie Nuwwab al-Harakah al-Islamiah.

Syeikh Hamzah yang sudah berusi 65 tahun, masih aktif cergas berpolitik di samping menyampaikan kuliah-kuliah agama termasuk pembinaan peribadi dalam program usrah di kalangan anggota Parlimen Ikhwan mahupun di kalangan ahli-ahli biasa, keadaan ini dilihat penting bagi Syeikh Hamzah bagi memastikan generasi anak-anak muda mengetahui kedudukan dan kepentingan berjemaah dalam sebuah masyarakat seperti di Jordan.

susunan Ustaz Zainuddin Hashim

Sumber: www.ar.wikipedia.org, http://www.jabha.net